Baru-baru ini, hangat diperkatakan apabila Harith Iskander memuat naik gambar memegang seekor anjing. Harith memberitahu dia telah mengambil anjing kudung sebagai anak angkat selepas diselamatkan oleh seorang wanita beragama Islam.
Akui menerima kritikan dan kecaman melampau daripada netizen, menerusi perkongsian di Instagram Harith berkata dia tidak terkesan sebaliknya yakin dengan nilai-nilai murni dalam ajaran Islam.
“Saya bantu kerana saya percaya Islam menggalakkan kebaikan, saya menolong seekor anjing dan pada masa yang sama saya tahu menjaga iman. Saya rasa ia tak memberi kesan kepada cara orang lain menjaga iman mereka,” tulisnya.
Dalam ada itu, Harith mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi sokongan kepadanya membantu menjaga anjing berkenaan. Harith menegaskan dia seorang Muslim dan ada iman dalam Islam.
“Saya tak mahu komen tentang perkara negatif yang ditujukan kepada saya, tetapi saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan untuk saya membantu Marvella, dan ya, ramai juga rakan-rakan Muslim yang turut memberi sokongan.
“Saya seorang yang beragama Islam, saya ada iman dalam Islam, dan saya percaya dengan sifat berperikemanusiaan,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Harith memberitahu tindakan seorang wanita beragama Islam menyelamat anjing jalanan itu telah menyentuh hatinya dan isteri dan menyuarakan hasratnya untuk menjadikan anjing yang dipanggil Marvela itu sebagai haiwan angkat mereka.
Difahamkan, Marvella adalah anjing yang tidak mempunyai kedua dua belah kaki depan dan pernah dibuli serta dipukul orang dahulu.