Seorang wanita menganggap kejadian yang menimpa anak lelakinya yang disangka sudah meninggal dunia akibat lemas sebagai satu keajaiban apabila ditemui masih hidup selepas diselamatkan oleh sekumpulan nelayan di Pantai Kandis di sini kelmarin.
Nik Nor Asyikin Nik Abdullah Sani, 36, memberitahu, dia sudah menyiapkan kain batik lepas untuk menutup jasad anaknya jika Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, ditemui selepas dikhuatiri lemas dalam kejadian pukul 5 petang itu.
Malah, dia dan suaminya, Aman Syah Musa, 38, telah membuat keputusan untuk menyemadikan Muhammad Aman Firas bersebelahan kubur neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Lalang, Bachok.
Bagaimanapun, kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya apabila kanak-kanak itu ditemui hidup selepas terapung selama enam jam di tengah laut pada pukul 11 malam.
Menurut suri rumah itu, khabar gembira itu bagaikan menyentak hatinya dan merasakan hidupnya kembali bersinar.
Kata Nik Nor Asyikin, anaknya memberitahu yang dia pengsan ketika tenggelam di dalam air laut, namun cepat-cepat tersedar apabila hidungnya terasa pedih seperti terkena cili api akibat dimasuki air masin.
“Ketika itu dia terus terapung di atas pelampung gabus dengan mukanya menghadap ke atas sehinggalah dia ditemui oleh nelayan enam jam selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini semalam.
Tambahnya, sebelum kejadian, dia tidak mengetahui anaknya pergi ke pantai itu bersama 12 orang rakan yang juga jirannya.
Menurut Nik Nor Asyikin, dia sering melarang anaknya mandi di pantai kerana khuatir berlaku kejadian lemas.
“Muhammad Aman Firas tidak pandai berenang dan keadaan itu menyebabkan saya melarang keras dia pergi ke pantai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah,” katanya.
Ujar wanita itu lagi, ketika kejadian, dia sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan di rumah bapanya, manakala suami berada di kebun berhampiran rumah.
Katanya, dia amat bersyukur anaknya terselamat dalam tragedi itu dan merasakan ia merupakan satu keajaiban apabila Muhammad Aman Firas mampu bertahan selama enam jam di laut.
“Anak saya merupakan penghidap disleksia dan mempunyai masalah dalam pembelajaran. Walaupun berusia 12 tahun dan berbadan besar, perangainya masih lagi seperti kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun,” katanya.