Tak mengaku rogol, cabul adik ipar

Posted on

Seorang buruh ladang kelapa sawit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan mencabul adik iparnya yang berusia 11 tahun pada September tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 19 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik ipar berusia 11 tahun yang mana perhubungan dengan kanak-kanak perempuan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Kubang Kerian, Lata Rek dekat Kuala Krai pada jam 8 pagi pada 2 dan 6 September 2020.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Amir Shariffuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon jaminan tidak ditawarkan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya merayu mahkamah menawarkan jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.