Kelantan mengesan kes pertama varian Delta membabitkan seorang wanita di Pasir Puteh yang disahkan positif dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, wanita berkenaan juga pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
Beliau berkata, perkembangan ini amat membimbangkan.
Justeru beliau menyeru seluruh penduduk Kelantan supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan.
“Kerjasama rakyat termasuk para pemimpin dalam aspek pematuhan SOP amat penting bagi membendung penularan virus ini.
BACA: Kluster Aidiladha punca kes meningkat di Kelantan
“Sekiranya tiada urusan penting jangan tubik (keluar) dan jangan kederak (bersiar-siar),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Setakat semalam, Kelantan mencatatkan 502 kes positif baharu dan 2,625 kes masih dalam rawatan.