Rakyat Kelantan yang berada di perantauan dan masih belum lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dinasihatkan supaya menangguhkan perancangan untuk pulang ke kampung halaman sekiranya kerajaan membenarkan rentas negeri dalam masa terdekat ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun rindu untuk berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara mara, namun apa yang lebih penting adalah melengkapkan terlebih dahulu dua dos suntikan vaksin dan pada masa sama tidak mahu memberi risiko kepada ahli keluarga atau menyebar wabak kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Katanya, rakyat Kelantan yang berada di perantauan juga disarankan untuk melakukan ujian air liur melalui kit ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak itu.
“Sekiranya bergejala, saya memohon supaya mereka jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah disebabkan ramai individu berada di luar tetapi beralamat di Kelantan dan besar kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.
“Jadi ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak secepat negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Roslan berkata, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah meluluskan peruntukan bagi penambahbaikan tempat yang sedia ada untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan pada tahun 2026.
“Insha-Allah apabila pandemik Covid-19 reda, kita akan membaiki kemudahan yang disenaraikan untuk dijadikan lokasi pertandingan SUKMA tidak lama lagi,” katanya.