Lima tahun bergelar ibu tunggal, bagaimanapun pelakon Rita Rudaini akui geram dengan sikap segelintir netizen yang masih tidak boleh menerima kenyataan apabila terus mengaitkan dirinya dan anak-anak dengan bekas suami.
Baru-baru ini, Rita ada memuat naik foto anaknya bersama pasukan bola sepak mereka, namun rata-rata netizen memberikan komen dengan mengatakan kemampuan dua cahaya matanya itu boleh bermain bola sepak disebabkan bapa mereka yang merupakan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak.
Kecewa dengan komen-komen tersebut, Rita kemudian memuat naik sekeping foto berserta kepsyen menyelar netizen dengan kenyataan, ‘Mak punya susu, bapak yang dapat nama’.
Bagaimanapun, memetik laporan Harian Metro, Rita menegaskan dia tidak menafikan Aidil Zafuan adalah bapa kepada anak-anaknya. Katanya lagi, dia yang membesarkan anak-anaknya sendirian, maka dia lebih tahu apa kelebihan serta kesukaan mereka. Tegas Rita lagi, kedua-dua anaknya itu tidak suka bermain bola sepak tetepi lebih kepada muzik dan badminton.
“Mereka masih tak ‘move on’ dan mengaitkan saya dan Aidil sepertinya kami ini Posh dan David Beckham. Lepas tu apabila mereka kata anak-anak pandai main bola sebab bapa mereka, langsung tak logik.
“Sedangkan ada pemain bola sepak hebat, anak mereka tidak sehebat bapa mereka. Jadi mereka tidak boleh berkata anak-anak pandai bermain bola kerana dia anak Aidil Zafuan.
“Di sekolah juga anaknya masuk kelab badminton dan bukan bola sepak cuma mereka bermain bola hanya waktu rehat untuk berseronok bersama rakan-rakannya. Disebabkan anak-anak dan rakan mereka suka bermain bola sepak membuatkan saya menubuhkan satu kelab untuk mereka, melantik jurulatih untuk mengajar mereka,” ujarnya.