Pelakon Nur Fazura Shariffudin, 36, menafikan dakwaan yang dia kini sedang berbadan dua.
Ini susulan video yang dimuat naik suaminya, Fattah Amin seakan-akan menampakkan Fazura sedang hamil ketika mereka bercuti di kepulauan Maldives, baru-baru ini.
“Sebenarnya saya sangat menghargai komen-komen daripada netizen semua.
Saya dan Fattah bersyukur ramai menyayangi dan mendoakan kami.
“Sebelum Fattah post video itu saya dah perasan dah (perut kelihatan macam baby bump), tapi saya kata tak mengapa post sahajalah.
“Kalau nak tahu sepanjang kami dalam penerbangan ke Maldives, memang tak sempat jamah apa-apa makanan pun.
“Bila dah sampai sahaja ke destinasi percutian terus kami pesan macam-macam makanan. Bila dah makan dalam kuantiti yang banyak secara tidak langsung, perut kita akan nampak macam itu kan,” katanya.
Fazura ditemui pada majlis pelancaran OST filem Peeta yang berlangsung di ibu kota, semalam.
Menurut pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu, setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga, dia dan suami kini sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab bergelar ibu dan bapa.
“Setiap suami isteri pastinya menantikan kehadiran cahaya mata. Sejujurnya ketika di awal usia perkahwinan, kami ada buat perancangan keluarga disebabkan jadual kerja yang sangat ketat.
“Kini selepas lebih setahun berkahwin dan kami pun dah cukup enjoy meluangkan masa berdua bersama, InsyaAllah dengan izin Allah kami dah bersedia untuk menimang cahaya mata jika dikurniakan rezeki dalam masa terdekat ini.
“Bila sampai masanya, saya akan uar-uarkan pada semua. Itu janji saya,” katanya lagi.
Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 selepas tujuh bulan bercinta.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan istimewa selepas digandingkan sebagai hero dan heroin drama Hero Seorang Cinderella.
sumber : kopiplanet