(VIDEO) Respons Suhaimi Saad apabila nama digugurkan dalam Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM

Posted on

“SAYA digugurkan, bukan direhatkan. Sepatutnya pihak penganjur kena berterus terang,” kata penyanyi Suhaimi Saad berhubung kenyataan penganjur Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM, KGM Event dia direhatkan daripada konsert itu yang akan berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 April ini.

Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam berkata, keputusan itu tidak adil kerana cara hidup dan isu peribadi tidak berkaitan dengan kerjayanya.

Suhaimi juga menafikan penganjur ada berbincang dengannya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Minggu lalu penganjur ada menghubungi saya untuk mengesahkan urusan berkaitan pembayaran dan minta saya tetapkan tarikh.

“Namun, beberapa hari lalu mereka menghubungi semula memaklumkan terpaksa batalkan pembabitan saya kerana ada penaja yang tidak bersetuju atas sebab isu peribadi dan kontroversi yang melanda saya sejak kebelakangan ini.

“Ia memang tidak adil buat saya. Ini kerana pendirian, cara hidup dan isu peribadi saya tidak berkaitan dengan kerjaya dan komitmen kerja saya.

“Mereka sendiri mengakui bahawa saya selalu komited. Apapun, mereka berhak untuk membuat keputusan itu kerana mereka adalah penganjur dan saya hormati dan terima keputusan itu. Mungkin bukan rezeki saya di situ,” katanya kepada Harian Metro.

Suhaimi berkata, penganjur tidak menyebut langsung perkataan direhatkan kepada dirinya sebaliknya menggunakan istilah ‘tak ada rezeki kali ini’.

“Perkataan direhatkan bukan istilah yang baik dan tepat kerana saya bukan artis naungan atau pemain bola sepak persatuan mereka. Ada perbezaan ketara pada dua istilah itu.

“Itu bukanlah istilah yang terbaik untuk menghormati saya kerana isu ini sudah pun diketahui umum.

“Saya dengan yakin mengatakan mereka menggugurkan saya kerana penganjur sendiri sebut tak ada rezeki kali ini. Lainlah jika konsert itu akan ada sambungan atau separuh masa kedua,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Suhaimi direhatkan daripada konsert berkenaan.

Wakil penganjur yang juga pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal itu.

Pihak penganjur mengumumkan untuk merehatkan Suhaimi daripada terlibat dalam Konsert Amal 4nomena

Menerusi kenyataan itu, pihaknya sedia maklum mengenai kontroversi melanda Suhaimi berhubung beberapa kenyataan yang berbaur provokasi sehingga bukan saja menerima reaksi kurang senang dalam kalangan netizen, malah turut mendapat liputan meluas media.

Pada konsert itu, kumpulan nasyid yang bakal membuat persembahan ialah Hijjaz, Inteam, UNIC dan Mestica.

Selain itu, terdapat juga persembahan istimewa daripada bekas anggota kumpulan nasyid yang kini aktif bergerak secara solo iaitu Fitri Haris, Hafiz Hamidun dan Fadzli Aziz (UNIC).

Sumber : my Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.