Pelakon Raysha Rizrose yang merupakan adik kepada Uqasha dan Nelydia Senrose berkata dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana ingin memberikan laluan kepada kakak-kakanya untuk mendirikan rumah tangga terlebih dahulu.
Pelakon itu berkata demikian walaupun telah menjalinkan hubungan selama enam tahun dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffri.
“Saya dan Nabil berkawan sejak 2013 dan kira-kira sudah enam tahun tapi kedua-duanya masih muda dan belum bersedia untuk ke arah itu. Saya baru berusia 22 tahun dan Nabil 25 tahun, kami juga tidak letak sasaran tapi kalau boleh bagi kakak lepas dulu,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran Drama Cintaku di Bumi Izmir.
Jelasnya lagi, walaupun telah mendedahkan statusnya yang sudah dimiliki oleh seseorang Raysha mengambil sikap untuk tidak terlampau berkongsi hal-hal peribadinya di media sosial, kerana dikhuatiri akan mencetuskan kontroversi.
“Saya seorang yang agak berahsia dan jarang berkongsi di media sosial gambar kekasih. Bagi saya itu lebih baik tapi bukan bermakna saya mahu merahsiakan. Ada sahaja gambar di Instagram saya cuma tidak terlalu kerap,” katanya kepada media.