Sebelum memulakan kisah Besut, Terengganu ini mari kita membaca dan renungkan satu seloka yang terkenal di Malaysia iaitu Seloka Pak Kadut. Ianya berbunyi begini,
Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
Kandungan
Kelantan Dahulunya Bawah Naungan Patani
Tahukah anda negeri Kelantan dahulunya di bawah naungan kerajaan Patani dan dikenali sebagai Kelantan-Patani? Ketika itu Kelantan dibahagikan kepada dua menjadi Kelantan Timur dan Kelantan Barat.
Di Kelantan Timur, Bekelam dijadikan sebagai ibu negeri, manakala Kelantan Barat, Kota Kubang Labu dijadikan sebagai ibu negeri.
Sungai Kelantan menjadi sempadan kedua-dua kerajaan sebelum putera Raja Kelantan Timur, Long Yunus merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Raja Kelantan pada 1794.
Long Yunus memacakkan penanda sempadan Kelantan Timur di Pachakan, Pasir Puteh sebagai titik sempadan dengan Terengganu, manakala sempadan Kelantan Barat dengan Thailand dipacakkan di Pujuk.
Besut Tergadai Kepada Terengganu Kerana Kalah Sabung Ayam?
Mengikut cerita rakyat, Besut asalnya di dalam wilayah Kelantan tetapi menjadi milik Terengganu kerana ia menjadi taruhan dalam pertandingan sabung ayam.
Sesetengahnya menganggap cerita sabung ayam hanya mitos, bukan sejarah sebenar.
Namun beberapa kampung ‘terbelah dua’ di garis sempadan Kelantan-Terengganu membuktikan bahawa Besut pernah berada di dalam Kelantan.
Penggarisan sempadan negeri dari puncak Bukit Yong ke Laut China Selatan sehingga ke Pulau Susu Dara menyebabkan sekurang-kurangnya empat kampung di daerah ini iaitu Kampung Gong Manak, Pachakan, Tok Motong dan Gong Lapang terpisah.
Walaupun berbeza negeri, penduduk kampung berkenaan menganggap mereka sekampung, berkongsi apa sahaja yang perlu dan berurusan dengan agensi kerajaan kedua-dua negeri mengikut keperluan.
Satu Kampung, Tetapi Dua Negeri Berbeza
Menurut penduduk paling tua di Gong Lapang, Jaafar Seman, 82, dia tidak mengetahui mengenai mitos sabung ayam seperti yang diperkatakan orang-orang terdahulu.
Dia yang menetap di kampung itu ketika zaman penjajahan Jepun berkata, pada masa itu, kampung berkenaan berada di sempadan kedua-dua negeri apabila beberapa rumah penduduk berada di sebelah Kelantan, manakala beberapa buah lagi berada di sempadan Terengganu.
Ujarnya, walaupun anaknya tinggal di kampung sama, tetapi berada dalam negeri Terengganu walaupun jarak dengan rumahnya hanya beberapa meter sahaja.
“Kini ada 25 rumah berada dalam negeri Kelantan, dan jumlah sama juga dalam negeri Terengganu, namun mereka semua adalah sekampung.
“Masa saya datang sini dulu, keadaan kampung ni memang macam ni. Separuh duk belah Kelantan, separuh lagi Terengganu. Nak cerita macam mana kampung ni terpisah dua, saya pun tak tahu,” katanya.
Ujarnya, dia sering ke Surau Al Jannah di kampung berkenaan yang terletak dalam kawasanTerengganu untuk menunaikan solat berjemaah.
“Kita tak fikir sempadan negeri, kita ni sekampung sahaja, cuma berbeza kerajaan. Sebelah sini dibantu Kerajaan Kelantan, sebelah sana pula dibantu Kerajaan Terengganu,” katanya.
Namun katanya, kampung terpencil itu jarang mendapat perhatian pemimpin berbanding kampung lain yang jelas berada dalam negeri Kelantan, tanpa kekeliruan garis sempadan.
‘Tak pernah rasa berada di negeri berbeza’
Dalam pada itu, penduduk di Kampung Telaga Papan di Semerak, Pasir Puteh bersempadan dengan Kampung Tok Saboh, Besut, tidak merasakan mereka berada di negeri berbeza.
Penduduk asal Telaga Papan, Ismail Yaacob, 65, berkata, penduduk Telaga Papan mempunyai saudara mara di Tok Saboh menyebabkan mereka tidak merasakan dipisahkan dengan sempadan negeri.
Beliau yang juga Imam Masjid Mukim Telaga Papan berkata, ada penduduk Tok Saboh menunaikan solat Jumaat di Masjid Telaga Papan.
“Saya lahir di sini. Walaupun negeri lain, kami dari dua kampung ini anak beranak. Secara umumnya, tak ada jarak yang memisahkan.
“Beberapa rumah bersebelahan dengan rumah penduduk Tok Saboh, bukan saja seperti satu negeri malah kami seperti sekampung,” katanya.
Menurutnya, sebelum masjid dibina 1986, penduduk Telaga Papan dan Tok Saboh bersembahyang di surau kayu di Telaga Papan.
Uniknya Terengganu
Di atas ini adalah beberapa keunikan yang ada di Terengganu. Kepada sesiapa yang pernah ke daerah Besut, Terengganu jangan terkejut bila penduduk di sana tidak bercakap dengan loghat Terengganu tetapi bercakap dengan loghat Kelantan. Boleh dikatakan penduduk asal di daerah Besut ini majoriti daripanya bercakap menggunakan loghat Kelantan.
Untuk pengetahuan, daerah Besut ini adalah salah satu destinasi pelancongan menarik yang ada di negeri Terengganu. Banyak tempat peranginan menarik sebagai contoh Pantai Penarik yang terkenal dengan keindahan pantainya dan makanan paling sedap iaitu “sotong celup tepung”. Datanglah ke Terengganu untuk melancong dan lihatlah keindahan-keindahan alam semulajadi di sini.