Tular video isterinya, Nurulain Md Yusof meninggalkan pelamin ketika ibu mertuanya, Irma Suriana Mahamud datang bersalaman, Sufi Rashid tampil mempertahankan tindakan isterinya itu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Sufi berkata isterinya tiada niat untuk bersikap kurang ajar atau mahu larikan diri. Meskipun pelbagai spekulasi liar timbul, Sufi berkata hal mengenai keluarga tidak perlu dijaja kepada umum.
“Kedua-dua wanita ini adalah bidadari hati saya. Tanggung jawab saya sebagai anak dan suami, adalah amanah saya untuk mereka berdua sihat dan bahagia di dunia dan In Shaa Allah, di akhirat.
“Mereka berdua saling menghadapi tekanan dan dugaan dalam kehidupan dunia yang sementara. Tetapi beratnya dugaan mereka, hanya ALLAH SWT saja yang tahu. Isteri saya bukan tidak hormat atau mahu larikan diri.
“Semasa menunggu ketibaan ibu saya, isteri saya sudah keluarkan tangisan di matanya, badan dia sudah bergeletar. Bukan takut, tapi isteri saya sudah bertahun pendam perasaan dengan penuh kesabaran atas “tindakan” yang diberikan pada dia,” tulisnya.
Dalam pada itu, Sufi turut meminta netizen supaya berhenti berkongsikan video tersebut kerana bimbang boleh terjadinya fitnah serta meminta orang ramai mendoakan yang baik baik mereka sekeluarga.
Terdahulu, ibu Sufi memuat naik satu video di Facebook miliknya memaparkan isteri Sufi turun dari pelamin ketika ibu mertuanya memeluk dan mencium Sufi. Dalam video tersebut, Sufi seolah cuba menghalang isterinya dari beredar namun tidak berjaya.