Boleh Ke Lepas Ambil Wuduk, Kita Lap Air Sampai Kering? Ini Jawapan PU Azman

Posted on

Selepas kita mengambil wuduk, adakah kita dibolehkan mengelap air wuduk itu dengan tuala hingga kering? Mungkin ini sebenarnya yang ingin di tanya oleh seorang pengikut PU Azman, namun ter’typo’ plak.

” Assalamualaikum ustaz, ni saya Nazmi. Nak tanya, xpe ke lepas kita ambik air semayang lepastu kilat lap badan kita guna tuala sampai kering?” tanya seorang pengikut PU Azman

” Kalau kilat yang lap, mampus kau dik” balas PU Azman

Hahaha. Lawak pun ada. Apapun yang penting soalan itu sampai dan difahami.

JAWAPAN

Sidang pembaca yang dihormati sekalian. Ada di antara masyarakat Islam yang tidak mengelap air wuduk di badan kerana berpendapat ia adalah air yang mengalirkan dosa daripada anggota wuduk. Wuduk menghapuskan dosa yang dilakukan dari anggota wuduk dan ini mempunyai dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Dari Uthman bin Affan katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “barang siapa yang berwuduk dengan sempurna, keluarlah dosa-dosanya dari seluruh tubuhnya hingga dari bawah kuku-kukunya.” – Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis ini dan hadis-hadis lain, sebahagian masyarakat kita berpandangan bahawa mengelap air wuduk adalah makruh. Ia juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Bahawasanya diberikan tuala kepada Nabi s.a.w setelah wuduk namun baginda menolaknya.

Sebenarnya terdapat beberapa pandangan tentang mengelap air wuduk. Para sahabat ada yang mengelap wuduk mereka dan ada yang tidak misalnya, Anas bin Malik berkata tidak mengapa mengelap air wuduk ataupun mandi. Sementara itu Umar Al Khattab berpendapat adalah makruh dan sementara itu Ibn Abbas mengatakan adalah makruh mengelap air wuduk dan tidak pada air mandi.

Imam Al Nawawi dalam syarahan Muslim mengatakan bahawa ada dalil bahawa nabi tidak mengelap air wuduk. Iaitu hadis riwayat Abu Hurairah dalam sahih Bukhari, “kemudian baginda mandi lalu keluar (menuju solat berjemaah) sedangkan air masih menitik dari kepalanya dan kemudian mengimamkan mereka”

Pada pandangan Imam Nawawi ada beberapa pendapat:

1) Digalakkan tidak mengelap anggota badan tetapi tidaklah dikatakan makruh.

2) Dihukumkan makruh.

3) Harus

4) Disunatkan untuk membuang kotoran.

5) Dimakruhkan pada musim panas dan tidak pada musim sejuk.

Berdasarkan pada pandangan yang banyak tentang mengelap air wuduk ini maka terpulanglah kepada sidang pembaca sekalian sama ada hendak melakukannya ataupun tidak kerana pada pandangan penulis hukum adalah harus. Kerana tidak ada dalil yang jelas dan larangan yang jelas tentang pengamalnya.

Hukum mengharuskan mengelap air wuduk ini adalah pandangan mazhab Maliki, Hambali dan sebahagian mazhab Shafie, Nabi pernah menggunakan jubahnya untuk mengelap wuduk. Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan an Nasai kata, Aisyah r.a nabi mempunyai perca-perca kain untuk mengeringkan anggota sesudah wuduk.

Berdasarkan hadis-hadis inilah ada mengatakan bahawa harus mengelap air wuduk. Maka terpulanglah kepada para pembaca sekalian sama ada hendak melakukan ataupun tidak tetapi yang lebih penting kepada penulis adalah sama ada wuduk kita sempurna ataupun tidak dan bagaimana cara kita mengambil wuduk adakah sesuai dengan syariat Islam atau tidak.

Persoalan paling utama adalah kesempurnaan wuduk pengetahuan tentang rukun dan cara-caranya serta amalan-amalan sunat semasa wuduk dan membaca doa setelah wuduk. Itulah sebenarnya yang paling penting.

Sama ada kita hendak mengelap air wuduk ataupun tidak kita sesuaikanlah dengan keadaan kalau perlu di lap, kita lap sahaja dan kalau tidak maka terpulanglah.

OLEH: USTAZ AZHAR TUARNO

(Imam Masjid Negara merangkap Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Kuala Lumpur)

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

sumber : karangkraf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.