Budak 11 tahun hampir dinikahkan bapa

Posted on

Seorang bapa yang ingin menikahkan anak perempuannya yang berusia 11 tahun gagal apabila diserbu pihak berkuasa.

Dalam kejadian di Taman Senangin, Perai itu warganegara berketurunan Rohingya ingin menikahkan anaknya dengan seorang pemuda Rohingya berusia 20 tahun.

Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) kelmarin berhubung rancangan keluarga pelarian Myanmar berkenaan

“Lelaki itu yang merupakan bekas guru kanak-kanak perempun tersebut mendakwa menerima laporan bahawa kanak-kanak itu akan dinikahkan di sebuah rumah.

“Justeru Ketua Polis Balai Perai hari ini telah hadir memberikan nasihat kepada kanak-kanak itu, bapanya yang berusia 46 tahun, bakal pengantin lelaki dan ahli keluarga yang terlibat sehingga mereka bersetuju menangguhkan perkahwinan itu,” katanya.

Tambahnya, bapa kanak-kanak itu bekerja kontrak dan telah berkahwin semula selepas isteri pertamanya meninggal dunia serta mempunyai dua anak berusia 4 dan 11 tahun.

“Alasan dia mahu mengahwinkan anaknya itu adalah kerana faktor penjagaan,” katanya lagi.

Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa menghentikan upacara itu namun majlis makan tetap diteruskan.

Menurutnya, dia juga menyedari menjadi kesalahan di negara ini untuk mengahwinkan kanak-kanak di bawah umur dan menggunakan khidmat kadi tanpa tauliah, namun mengabaikannya kerana mengikut apa yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.

“Namun selepas berbincang dengan pihak berkuasa, saya faham kenapa saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan sanggup menunggu sehingga Aishah cukup umur sebelum mengahwinkannya,” katanya.

Sementara itu, Mahbub berkata, dia sanggup menunggu Aishah cukup umur sebelum mengahwininya.

“Tak guna kalau saya gembira berkahwin sekarang tetapi ada masalah yang akan timbul nanti.

“Jadi lebih baik saya bersabar dan mengahwininya selepas dia cukup umur 18 tahun,” katanya yang sugul ketika ditemui.

Menurutnya, dia sudah membuat persiapan dan ada membeli baju baru bagi tujuan itu tetapi tidak dapat dipakai kerana upacara dibatalkan.

Kanak-kanak tersebut kini menerima pemantauan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta perkara berkenaan turut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

MHE TV via metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.