Gara-gara ragut rumput di kawasan larangan, dua ekor biri-biri dilaporkan telah dihukum penjara.
Menurut Mirror, haiwan itu diarahkan untuk dipenjara selepas ia ditangkap meragut rumput di sekitar asrama Ignacio Zaragoza di perbandaran Santa Catarina Yosonotu, negeri Oaxaca di Mexico.
Difahamkan, kedua-dua haiwan itu akan tinggal di penjara sehingga pemilik mereka membayar denda dan membaiki kerosakan.
Pemilik biri-biri itu juga turut dirahkan berikrar untuk memastikan haiwan tersebut sentiasa berada dalam kandang sebelum diserahkan semula.
Pemilik biri-biri tersebut telah difahamkan telah membuat aduan kepada pihak polis kerana dia percaya bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atas kambingnya adalah kejam.
Menurutnya, dia bimbang jika biri-biri miliknya itu akan mati kelaparan kerana tidak diberikan air dan makanan.
Dia juga mendakwa bahawa keluarganya sedang diugut oleh pemimpin orang asli yang membuat laporan mengenai biri-birinya. Dakwanya, ia sebagai tindakan untuk menghalangnya daripada mendedahkan perbalahan tersebut.
Sementara itu, dia juga telah merayu bantuan kewangan daripada penduduk setempat kerana tidak mampu membayar denda.
Berikutan dakwaannya itu, Pejabat Peguam Negara di Oaxaca mengatakan pada 11 Mei lalu bahawa mereka telah membuka siasatan berkaitan ‘jenayah kekejaman haiwan’ terhadap dua biri-biri tersebut.