Niat baik yang ditunjukkan oleh dua warga tempatan di Indonesia dalam menghulurkan bantuan kepada sebuah ambulans yang kemalangan telah menyebabkan mereka diarahkan kuarantin.
Ini kerana, ambulans yang terbabas sehingga masuk ke dalam parit yang terletak di Desa Bintang Hu, daerah Aceh Utara, Indonesia pada Rabu (23/4/2020) itu dilaporkan membawa pesakit yang disyaki dijangkiti virus Covid-19, lapor Tribunnews.
Kedua-dua mereka bertindak membantu menyelamatkan mangsa yang terdapat di dalam ambulans tersebut tanpa mengetahui apa yang bakal menimpa diri mereka.
Menurut Tribun, ambulans tersebut milik Rumah Sakit Umum Daerah Aceh Tamiang.
Difahamkan, ambulans tersebut terbabas sehingga masuk ke dalam parit kerana pemandunya dipercayai mengantuk.
Ketua Perkhidmatan Kesihatan Aceh Utara, Amir Syarifuddin, menyatakan bahawa selepas mengetahui bahawa ambulans itu membawa pesakit yang disyaki dijangkiti dengan virus Covid-19, pasukannya segera dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, berdasarkan hasil ujian rapid test kepada pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 itu menunjukkan bahawa virus tersebut mungkin teraktif semula.
Pesakit di dalam ambulans itu dipercayai baru sahaja pulang daripada Jawa Timur dan sedang dalam perjalanan untuk dirujuk ke Rumah Sakit Umum Cut Meutia, Aceh Utara, bagi melakukan ujian swab.
“Dua warga tempatan yang membantu mengeluarkan mangsa kemalangan itu sudah kami kenal pasti. Kami juga telah mengarahkan mereka supaya mengkuarantinkan diri mereka di rumah selama 14 hari.
“Mereka terus membantu ambulans yang terbabas di dalam parit itu tanpa mengetahui bahawa ambulans tersebut sedang membawa pesakit yang disyaki dijangkiti virus Covid-19,” ujarnya.
Katanya lagi, pasukan yang dihantar untuk membawa pesakit tersebut di tempat kejadian turut dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri. Bahkan, lokasi tersebut juga telah disembur dengan cecair pembasmi kuman.
“Termasuklah ambulans yang membawa pesakit itu, kami sudah sterilkannya,” tambahnya lagi.
Sumber: Tribun