Terpalit dengan pelbagai kontroversi panas sepanjang tahun 2019, Emma Maembong menyifatkan setiap apa yang berlaku itu adalah proses yang mematangkan dirinya.
Emma akui banyak perkara yang dipelajarinya daripada kontroversi yang berlaku. Namun, Emma bersyukur kerana Allah masih memberikan peluang untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Saya percaya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Semua itu saya anggap sebagai proses pembelajaran dan paling penting, saya terus memandang hari depan.
“Dalam meniti hidup, pasti akan ada titik hitam yang kita lalui, namun ia tidak pernah membuatkan saya berhenti daripada berusaha menjadi insan lebih baik.
“Alhamdulillah, saya masih diberikan ruang untuk mencari rezeki sebagai anak seni dan tetap disayangi peminat, terutama Emanizers,” katanya kepada BH Online.
Berbicara mengenai soal cinta, Emma tidak kesal apabila masih lagi solo selepas beberapa episod percintaan terputus di tengah jalan. Emma turut berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang dapat membimbingnya ke jalan yang baik.
“Saya tidak memilih dalam berkawan, cuma ketika ini, saya dahulukan fokus untuk mencari rezeki. Saya belum puas berlakon dan berharap dapat menambah ilmu untuk memperbaiki diri dalam bidang ini,” katanya.