Seorang pemandu treler balak dikhuatiri mati lemas selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya masih hilang di dalam tasik itu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, pemandu berusia dalam lingkungan 30-an itu sedang dalam perjalanan membawa muatan kira-kira 50 batang balak dari betau balak tidak jauh dari lokasi kejadian untuk dibawa ke pusat timbang di Kuala Betis di sini.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berat itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang di tepi jalan.
“Insiden itu menyebabkan treler itu terbalik bersama muatan kayu balak ke dalam tasik. Pemandu lori itu dipercayai masih hilang di dalam tasik berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, beliau bersama 10 orang anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 petang.
Katanya, bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa ditamatkan pada pukul 6.30 petang tadi ekoran cuaca hujan dan akan disambung semula esok.
sumber : Kosmo Online