Hanez Suraya Pernah Paranoid Sampai Takut Nak Makan Ayam

Posted on

Pelakon Hanez Suraya berkongsikan masalah kesihatan kebimbangan melampau (anxiety disorder) yang pernah dilaluinya selepas melahirkan cahaya mata sulung, tiga tahun lalu.

Menurut Hanez, sepanjang mengalami masalah itu, dia pernah berasa paranoid untuk menjamah ayam berikutan perasaan bimbang yang menebal wujud dalam dirinya pada ketika itu.

“Selepas bersalin, semuanya baik-baik sahaja. Cuma ada ketikanya saya rasa macam paranoid untuk melakukan semua benda sehinggakan ketika nak makan pun saya rasa resah dan takut.

“Misalnya, saya takut nak makan ayam dan lebih teruk lagi apabila sebelum makan saya sempat buat carian di internet tentang kandungan dalam makanan sebab was-was dan bimbang andai ia boleh berikan mudarat kepada badan. Lagipun ayam sekarang banyak yang dah disuntik dan sebab itu saya jadi paranoid nak makan,” ujarnya.

Hanez ditemui pada majlis pelancaran produk ubat gigi keluaran Aurawhite yang berlangsung di Meet & Dine, Budiman Business Park, Cheras semalam.

Menurutnya, disebabkan perkara itu berat badannya turun secara mendadak sehingga menyebabkan dirinya mula rasa tidak senang untuk keluar rumah dan lebih suka memerap di rumah serta takut untuk memandu.

“Jika tidak dijaga, ia boleh mendorong ke arah kemurungan. Mujur saya belum sampai tahap kronik sebegitu. Saya seperti berhalusinasi diri sendiri dan mendengar suara halus yang menakutkan,” katanya.

Walaupun mengalami penyakit keresahan melampau, namun Hanez berkata dia tidak mendapatkan rawatan daripada doktor kerana enggan terikat dengan pengambilan ubat.

“Saya mengelak daripada berjumpa pakar kerana takut nak makan ubat, yang mana jika sekali dah makan kena bergantung seumur hidup dengan ubat tersebut. Sebaliknya, saya lebih banyak menyertai program usrah dan mengikuti ceramah agama sejak tahun lalu.

“Selain itu, saya juga sering berkongsi cerita dengan orang-orang senasib saya menerusi Persatuan Miasa Malaysia (Mental Illness Awareness & Support Association). Di situ kami saling meluahkan masalah bagi mengurangkan beban yang ditanggung,” luahnya.

Sehubungan itu, Hanez menasihatkan agar mereka yang senasib dengan dirinya supaya perlu bergaul dengan golongan yang positif dan harus kuat melawan masalah berkenaan.

“Suami pun baru sahaja tahu yang saya ada menghidap anxiety disorder bila saya adakan ceramah mengenainya pada bulan April lalu,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seni, Hanez berkata dia tidak menolak mana-mana tawaran sekiranya diberikan peluang.

Namun, dia akan cuba mengelak untuk melakonkan babak-babak aksi mesra bagi menghormati statusnya sebagai seorang isteri.

sumber :kopiplanet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.