Sering dihimpit dengan kontroversi, bagaimanapun usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri memberitahu sudah sampai masa untuk beliau memperlahankan penglibatannya dalam industri hiburan. Ujarnya lagi, beliau sendiri tidak sanggup melihat imej dirinya yang ‘gila-gila’ di televisyen.
“Sebenarnya dalam tempoh beberapa bulan ini saya telah didatangi perasaan yang meminta supaya lebih merendah diri dan jangan terlalu kedepan dalam dunia hiburan. Saya menangis dalam solat dan terfikir yang saya perlu kurangkan membuat perkara yang tidak baik dan sebaliknya perlu mendekatkan diri dengan Allah.
“Umur juga sudah lanjut dan sebenarnya saya sendiri tak sanggup lihat apa yang anda tonton mengenai sikap saya di televisyen,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Aliff lagi, beliau sudah rasa tidak seronok untuk muncul di televisyen dan mahu lebih melibatkan diri dalam dunia korporat. Aliff berkata lagi, beliau tidak mahu hanyut dalam keseronokan dan kemewahan yang dikecapinya selama ini.
“Saya sudah berada dalam industri kosmetik lebih daripada 10 tahun, sudah sampai satu tahap saya dah rasa tak seronok keluar TV. Sebelum ini saya terlalu hanyut dengan keseronokan, kehidupan saya sudah ada segala-galanya tapi saya kosong,” ujarnya.