Selepas mengambil keputusan SPM, kebanyakkan pelajar buntu untuk memilih laluan seterusnya, sama ada melangkah ke alam universiti, masuk ke tingkatan 6, melanjutkan pelajaran ke kolej swasta, dan lain-lain lagi.
Mungkin ramai yang lebih selesa untuk memilih masuk ke alam universiti, tetapi tidak bagi Muhammad Habil Selamat, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra Batu Pahat yang mendapat 10A pada SPM kerana beliau memilih untuk ke tingkatan 6.
Menurut Muhammad Habil Selamat, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra Batu Pahat, dia mengambil keputusan meneruskan pengajian ke tingkatan 6 kerana yakin, STPM merupakan jalan terbaik untuk ke universiti.
“Kita bukan sahaja belajar ilmu, tetapi pada masa sama kita dapat mempersiapkan diri sebelum melangkah ke universiti. Diakui, STPM ini sedikit mencabar berbanding saluran lain yang ada, tapi saya yakin dengan sistem STPM mampu membentuk diri saya untuk berjaya bukan sahaja dari aspek pelajaran, tetapi juga dari aspek keperibadian diri,” katanya.
Muhammad Habil merupakan Ketua Pengawas SMK Tunku Putra. Beliau juga dianugerahkan Tokoh Kelab Hobi dan Rekreasi 2017 – Peringkat sekolah, Naib Johan Pameran Sains Menengah Atas 2017 – Peringkat Sekolah, Pengerusi Gold Medal Certificate For ASEAN Quiz competition Grade 10-12 – 2017 Peringkat Antarabangsa dan banyak lagi.
Berikut adalah antara 9 kelebihan memilih ke tingkatan 6:
1.Diiktiraf oleh University of Cambridge. Sijil setaraf dengan A-Level dan diterima oleh universiti setara dunia. 2.Menghasilkan pelajar yang lebih matang kerana pendedahan sukatan pelajaran yang lebih komprehensif. 3.Menghasilkan pelajar yang lebih berdikari.
4.Merupakan permulaan yang baik sebelum menjejak kaki ke universiti. 5.Suasana pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif dan selesa. 6.Tidak terikat dengan uniform sekolah. 7.Penyertaan aktiviti kokurikulum yang lebih meluas peringkat PPD, negeri dan kebangsaan.
8.Yuran pembelajaran secara percuma. 9.Sijil STPM laku dan boleh dijadikan medium untuk mencari pekerjaan. Sumber: GPS Bestari
FAKTA:
Sejak dahulu ramai pelajar yang fobia’ untuk sambung pelajaran ke tingkatan enam.
Mereka menganggap, belajar tingkatan enam low class dan tidak ‘gah’ sebagaimana mereka yang menyambung pelajaran ke matrikulasi, diploma atau asasi.
Selain itu, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikatakan peperiksaan paling susah di negara ini dan ketiga paling susah di dunia, menyebabkan lagi ramai pelajar enggan ke tingkatan enam.
Walhal mereka belum lagi menduduki STPM tetapi sudah buat analisis sendiri bahawa STPM itu susah.
Dek momokan negatif itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk bekerja di usia muda. Biarpun mendapat tawaran ke tingkatan enam, mereka sanggup tolak tawaran kerana tidak mahu berdepan cabaran.