Lelaki dipenjara kerana rakam video anak perempuannya sedang mandi untuk simpanan peribadi

Posted on

SINGAPURA – Seorang lelaki yang merakam video anaknya berusia 21 tahun dalam bilik mandi, dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan, isnin, semalam, lapor Straits Times.

Lelaki warganegara Malaysia berusia 48 tahun itu mengaku bersalah di atas tuduhan merakam video anaknya yang sedang mandi di bilik air di kediaman mereka di Toh Yi Drive, pada Julai 2016.

Tertuduh yang tidak dibenarkan namanya didedahkan oleh mahkamah difahamkan tinggal bersama anak perempuannya dalam bilik sewa.

Menurut mangsa yang kini berusia 22 tahun berkata, sekitar bulan Julai 2016 ketika dia sedang mandi, dia ternampak sebuah telefon bimbit berwarna hitam diikat pada paip di bawah besen.

Kemudian mangsa mengambil telefon itu dan menyedari telefon tersebut dalam mod merakam video. Mangsa menghentikan rakaman video itu dan memainkan semula video yang telah dirakam, yang menampakkan dirinya dalam keadaan bogel ketika mandi.

Mangsa kemudian memeriksa telefon itu dan ternampak beberapa video lain yang menampakkan wajah bapanya yang sedang melaraskan telefon itu bagi mencari posisi yagn terbaik.

Apabila mangsa berdepan dengan bapanya, lelaki itu mengaku dia mula melakukan perbuatan itu sejak dua minggu yang lalu. Mangsa yang berang terus membuang keseluruhan video itu dan memulangkan telefon itu kepada bapanya.

Mangsa kemudian berpindah keluar dan tinggal di rumah rakannya.

Tertuduh mengaku yang dia telah merakam video itu untuk tujuan peribadinya sahaja. Malah dia mengaku masih menyimpan 20 klip video anak perempuannya yang sedang mandi di dalam telefonnya yang lain, tetapi telefon itu telah hilang dari simpanannya.

Pada 5 April 2017 kira-kira jam 3.10 pagi, tertuduh dilaporkan cuba membunuh diri. Namun sempat dihalang sebelum ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.