Monsun Timur Laut Ingatkan Tragedi Bah Kuning 2014

Posted on

Monsun Timur Laut Ingatkan Tragedi Bah Kuning 2014 | APABILA tibanya musim Monsun Timur Laut, iaitu bermula November hingga Mac, dalam benak fikiran setiap orang ramai adalah banjir yang akan melanda, terutama di negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Malah apabila masuk musim monsun ini, ketiga-tiga negeri ini menerima taburan hujan yang tinggi iaitu antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan biasa hanya 200mm hingga 300mm.

Malah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan kali ini, negeri terbabit dan juga Johor dijangka akan menerima taburan hujan yang tinggi dengan empat hingga enam episod hujan lebat bermula November hingga Januari depan.

Keadaan ini tentu sekali menggusarkan penduduk, terutama yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air kerana bimbang banjir besar bakal melanda lagi selepas 2014 yang meninggalkan memori yang cukup terkesan buat penduduk di Kelantan dan Terengganu.

Mengimbas kembali memori banjir besar 2014 atau dipanggil sebagai ‘Bah Kuning’ sememangnya meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat saya dan juga keluarga yang menetap di Tanah Merah, Kelantan walaupun ketika itu saya menetap di Kuala Lumpur.

Walaupun sejak zaman kanak-kanak hingga remaja, setiap kali tibanya musim monsun, yang sering diceritakan dan disampaikan adalah Bah Merah yang berlaku sekitar 1960-an dulu, namun kerana tidak lahir pada dekad itu membuatkan generasi muda tidak mendapat gambaran jelas mengenai banjir besar ketika itu.

Apabila menerima perkhabaran bahawa Gua Musang dilanda banjir teruk dan kemudiannya bandar Kuala Krai pula lumpuh kerana dinaiki air sehingga melebihi paras bumbung rumah, ia memberi petanda kurang enak buat penduduk yang mendiami sepanjang Sungai Kelantan.

Terbaru Banjir Kilat Semalam Di Kg Chenulang Kuala Krai

Dimaklumkan bahawa hujan tidaklah terlalu lebat namun paras air yang naik secara mendadak ditambah pula dengan penduduk kampung yang kurang melakukan persediaan menghadapi banjir besar walaupun sering berdepan dengan bencana ini, menyebabkan keadaan menjadi cukup kelam kabut.

Ramai penduduk yang sebelum ini tidak pernah terjejas dengan banjir menjadi mangsa sehingga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti sekolah, balai raya, masjid dan surau.

Malah PPS yang dibuka juga ada yang terpaksa ditutup apabila banjir melanda kawasan terbabit dan mangsa yang ditempatkan di tingkat bawah bangunan sekolah juga terpaksa dipindahkan ke tingkat lebih atas sehinggakan keadaan PPS menjadi cukup sesak.

Namun, ada keluarga tidak berpindah ke PPS kerana hanya berpindah ke rumah nenek yang tidak dinaiki air meskipun rumah itu hanya terletak kurang 100 meter dari tebingan Sungai Kelantan yang sudah melimpah dan melumpuhkan seluruh bandar.

Tetapi keadaan cukup menyeksakan apabila bekalan makanan hampir habis dan bekalan elektrik, air serta komunikasi terputus sama sekali. Malah, saya yang ketika itu menetap di Kuala Lumpur yang berada kira-kira 450 kilometer jauhnya, perasaan risau dan gusar sentiasa bermain di hati memikirkan keadaan keluarga, apatah lagi tidak boleh berkomunikasi dengan keluarga di sana apabila talian telefon tidak berfungsi.

Apabila menerima panggilan dan mesej daripada ahli keluarga, ia cukup membuatkan hati tenang seketika. Pulang ke kampung selepas mendapat perkhabaran bahawa banjir sudah surut dan sepanjang perjalanan pulang apabila masuk saja ke Gua Musang dan kemudian menelusuri Kuala Krai hingga sampai ke rumah di Tanah Merah, melihat kesan pascabanjir sememangnya cukup menghibakan dan sukar diungkap dengan kata-kata.

Ternyata pascabanjir lebih memeritkan untuk membersih rumah dengan lumpur dan selut yang tebal, namun apabila berjaya menyelesaikan operasi pembersihan rumah, terasa seperti berada di rumah baharu walaupun rumah terbabit sudah didiami lebih 10 tahun dengan lebih 50 peratus perkakasan rumah dan perabot terpaksa dibuang.

Gertak Kg Belanga

Begitu ingatan yang sering kali bermain di fikiran saya dan juga orang ramai yang pernah terjejas dengan banjir besar 2014 atau Bah Kuning itu yang tidak akan luput daripada ingatan. Jika ditanya setiap orang, tentu sekali mereka melalui pengalaman sendiri untuk diceritakan, termasuk yang sukar diungkap dengan kata-kata apabila berdepan dengan keadaan lebih teruk dengan kediaman mereka rosak teruk dan musnah serta hanyut dibawa arus banjir.

Walaupun selepas tragedi 2014 terbabit, banjir yang melanda di Kelantan mahupun di Terengganu dan Pahang tidak seteruk tahun terbabit, namun persediaan penduduk sekarang boleh dikatakan berada pada tahap tertinggi.

Meskipun MetMalaysia meramalkan banjir buruk bakal berlaku, tetapi tidak seteruk jika berbanding banjir besar atau Bah Kuning 2014.

Jika ditanya orang ramai, tentu sekali mereka tidak mahu lagi berdepan dengan banjir meskipun setiap tahun banjir tetap akan berlaku kerana aturan alam, cuma besar atau tidak saja bergantung kepada taburan hujan yang turun.

sumber :arrisalah-elbi.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.