Seorang anggota polis maut dalam kemalangan manakala rakan setugasnya cedera parah selepas kenderaan unit peronda polis (MPV) dinaiki mereka terbalik ketika mengejar sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai penjenayah, di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja, di sini, hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kejadian berlaku kira-kira 5 pagi tadi yang menyebabkan Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, yang memandu MPV berkenaan, cedera parah.
“Semasa berada di Jalan Tebrau, mendiang (Nicholester Dadup) dan Mohammad Fadhirul, kedua-duanya bertugas di Balai Polis Dato’ Onn, di sini, terserempak sebuah kereta Perodua Myvi mencurigakan dan seterusnya bertindak mengejar kenderaan, yang dipercayai dinaiki dua lelaki, selepas kenderaan terbabit enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian,” katanya yang ditemui pemberita selepas melawat jenazah mendiang Nicholester Dadup, di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Ayob Khan berkata sejurus tiba di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja, kenderaan MPV mereka bergesel dengan Perodua Myvi terbabit dan kemudiannya MPV itu berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Aruz dinaiki dua lelaki awam.
Beliau berkata akibat perlanggaran itu, kereta MPV jenis Proton Waja berkenaan terbalik yang menyebabkan Koperal Nicholester Dadup maut dan Lans Koperal Mohammad Fadhirul cedera parah manakala kedua-dua lelaki menaiki Perodua Aruz, cedera.
Katanya Perodua Myvi itu pula berjaya melarikan diri dan polis kini sedang berusaha mengesan kedua-dua lelaki tersebut bersama kenderaan itu.
Menurut Ayob Khan, jenazah mendiang akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak manakala Mohammad Fadhirul yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, HSI.
“Mendiang mula berkhidmat di Balai Dato’ Onn, sejak awal tahun ini. Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut merupakan anggota polis dan saya sudah berjumpa dengan kakak mendiang bagi menyampaikan takziah kepada seluruh keluarga,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kamsani Aswan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada 6.24 pagi tadi.
Beliau berkata susulan itu, tujuh anggota bersama dua jentera digegaskan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
“Sebaik pasukan kami tiba, didapati terdapat tiga mangsa cedera manakala seorang maut di tempat kejadian akibat tersepit.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke HSI manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: BERNAMA