Mungkin ‘lockdown’ di seluruh Kelantan

Posted on

Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan perintah ‘lockdown’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) akan dilaksanakan di seluruh Kelantan berikutan kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan sejak dua minggu lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, kerajaan negeri sedang menunggu isyarat dan arahan daripada kerajaan Persekutuan sekiranya perintah itu akan dilaksanakan.

“Apa saja arahan daripada kerajaan Persekutuan, kita akan ikut. Buat masa ini, belum ada cadangan lagi untuk berbuat demikian.

“Kita lihat keadaan sekarang amat membimbangkan apabila semua daerah di Kelantan sudah bertukar daripada zon hijau kepada zon merah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Zaini Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin dan Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd.Azman Yusof.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Kelantan mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak tiga angka sehingga menjadikan negeri itu berada pada kedudukan tiga tertinggi kes setiap hari.

Kelantan semalam mencatatkan sebanyak 442 kes positif Covid-19 dan merupakan negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Sarawak.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.