Pasti ramai tahu pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman sememangnya rapat dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Rizalman merupakan individu bertuah bertanggugjawab menyediakan persalinan buat Tunku Azizah serta keluarga diraja Pahang itu sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa lalu.
Baru-baru ini, Tunku Azizah menjadi tumpuan netizen apabila muncul dalam siaran langsung di Instagram Rizalman. Rata-rata netizen memuji baginda yang dilihat bersembang santai.
Ketika siaran langsung itu, baginda sedang makan durian bersama anakandanya Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang turut melambai tangan dan mengucapkan salam.
Namun apa yang menjadi perhatian adalah apabila Rizalman dan Tunku Azizah mengusik Tengku Hassanal sama ada dia sudah berpunya atau pun tidak memandangkan ramai yang memuji ketampanannya di hari pertabalan tempoh hari.
“Handsome kan Hassanal, ada orang tanya Tengku Hassanal ni ada pilihan hati ke tak? Ada tak? Suruh dia jawab sendiri, saya tak nak jawab,” kata Tunku Azizah.
“Not yet (belum ada),” balas Tengku Hassanal.
Dalam pada itu, Tunku Azizah memberitahu mana-mana gadis yang berhasrat ingin menjadi suri hati anakandanya perlu memahami minat dan menjaga penampilan anaknya.
“Siapa nak jadi isteri dia kena pandai makan durian, makan gulai tempoyak kena siap baju dari kepala sampai ke kaki.
“Kena siap semua sekali pasal dia sama macam ayah dia. Tengku Hassanal macam tu la,” kata Tunku Azizah.