Berita yang amat mengejutkan buat peminat pelakon cilik, Puteri Balqis yang dikhabarkan sah menghidap penyakit kanser. Berita tersebut disampaikan oleh ibunya, Norashikin Mohd Aziz tanpa menjelaskan secara terperinci jenis barah yang menyerang anaknya.
“Saya minta maaf, buat masa ini saya tak mahu membuat sebarang temu bual. Demamnya masih tak berhenti. Jantung dan paru-parunya mempunyai masalah. Apa pun dia semakin kuat,” jelasnya kepada Berita Harian Online.
Sebelum ini Balqis yang pernah terlantar sakit dikatakan menghadapi masalah jantung. Namun keadaan Balqis mula menjadi tanda tanya apabila beberapa hari lalu beliau memuat naik gambar berserta dengan hashtag #fightcancer.
Perkongsian yang dipercayai dimuat naik oleh oleh ibu bapanya, menceritakan Balqis yang baru saja menjalani rawatan dan memaparkan beliau memakai topeng muka, namun kelihatan tetap ceria tersenyum.
Pun begitu, Norashikin menjelaskan, keadaan anaknya kini bertambah baik dan semangat Balqis yang kuat melawan penderitaan penyakit yang dihadapinya. Semoga adik Balqis diberikan kekuatan untuk terus melawan dugaan besar ini.