Sebelum ini, netizen membuat spekulasi rumah tangga Fizo Omar dan isterinnya, Mawar Karim dikatakan bermasalah apabila pasangan itu dilihat menyambut Hari Raya secara berasingan.
Lebih menjadi tanda tanya apabila Fizo memuat naik gambar anaknya tanpa Mawar sebagai ucapan hari raya. Malah, Mawar juga hanya memuat naik gambarnya bersama anaknya tanpa suami.
Terbaru, timbul pula dakwaan mengatakan Mawar mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, Fizo yang dihubungi memberitahu dia belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan mengenai apa yang berlaku serta meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk mereka.
“Maaf, saya tidak menjawab panggilan dan membalas mesej. Saya bukannya lari, tetapi belum bersedia memberikan apa-apa kenyataan, buat masa ini.
“Saya faham kerjaya wartawan, namun ini bukanlah masa yang sesuai mengeluarkan kenyataan. Doa yang baik-baik buat saya dan Mawar,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Fizo menafikan tuduhan rumah tangganya berantakan serta menjelaskan bahawa mereka sekeluarga sepatutnya beraya di Kelantan, namun bapa Mawar tiba-tiba sakit menyebabkan isteri dan anaknya terpaksa pulang ke Pulau Pinang.