‘Saya jadi mangsa rancangan pihak produksi’ – Afifah

Posted on

 

Afifah Nasir menjelaskan dia menjadi mangsa pihak produksi yang memintanya memujuk Aliff datang ke lokasi penggambaran berikutan masalah disiplin lelaki itu.

“Apa yang berlaku sebenarnya hanya lakonan sahaja. Pihak produksi yang meminta saya menjaga hubungan dengan Aliff agar dia datang ke lokasi penggambaran.

“Mereka memujuk dan menggunakan saya supaya Aliff datang ke lokasi dan memberi kerjasama berikutan penggambaran sepatutnya mengambil masa sebulan kini sudah lebih dua bulan kerana masalah disiplin Aliff,” katanya memetik laporan dari mStar Online.

Afifah mengakui bahawa dia kesal kerana menuruti sahaja perancangan pihak produksi yang akhirnya memakan dirinya.

“Saya kesal kerana apa yang berlaku adalah rancangan bersama untuk memastikan penggambaran berjalan lancar. Tetapi bila jadi perkara seperti ini, tiada seorang pun dari mereka (produksi) yang bercakap menyebelahi pihak saya,” katanya.

Dalam sidang media itu, Afifah turut memperdengarkan rakaman perbualan di antara kakaknya, Anzalna Nasir, dengan seorang kru produksi tentang perkara berkenaan yang mendedahkan niat pihak produksi mempergunakan Afifah untuk melancarkan penggambaran.