Seorang ibu didakwa menikam mati anak perempuannya sebanyak 15 kali dengan pisau kerana terlampau risau dijangkiti Covid-19.
Wanita itu didakwa bimbang anaknya tinggal bersendirian sekiranya dia mati akibat virus itu.
Portal Mirror melaporkan Sutha Sivanantham, 36, menikam mati anak perempuannya, Sayagi, 5, di dalam bilik tidur di rumah mereka di selatan London sebelum dia mencederakan diri sendiri pada 30 Mei tahun lalu.
Menurut suami suspek, Suganthan Sivanantham, kerisauan isterinya dijangkiti virus itu semakin parah dengan pelaksanaan perintah berkurung yang lagi memburukkan keadaan.
Sutha yang dibicarakan di mahkamah jenayah di Old Bailey di sini, semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh anak perempuannya dalam bilik tidur di rumah flat di Mitcham.
Pada 11 September tahun lalu, dia didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh anak perempuannya itu.
Suganthan berada di pasar raya ketika dia menerima panggilan telefon mengatakan isterinya membunuh anak mereka di rumahnya.
“Saya percaya perintah berkurung mungkin memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mentalnya.
“Dia memandang serius larangan itu dan merasa bimbang mengenai penularan virus itu,” katanya.
Sutha yang tidak boleh berbahasa Inggeris tinggal di United Kingdom sejak 2006 berikutan perkahwinan yang diatur dengan suaminya.
Pendakwa raya memaklumkan, wanita itu mempunyai kebimbangan melampau ‘dia sakit teruk dan akan mati’.
Pembunuhan yang dilakukan Sivanantham terbongkar selepas dia ditemukan berlumuran darah oleh jirannya.
Polis dikerah ke lokasi kejadian dan menemukan mayat Sayagi atas katil.
Kanak-kanak malang itu ditikam pada bahagian leher, dada dan perut.