Individu yang ditahan bermain banjir di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas secara berkumpulan akan dikenakan kompaun RM1,000.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, surat memaklumkan mengenai tindakan itu sudah dihantar kepada Ketua Jajahan Pasir Mas termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya tindakan berkenaan antara usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang menunjukkan tren menaik di jajahan ini.
“Kita menjangkakan pesta bermain air banjir akan kembali berulang tahun ini jika tidak dibendung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, polis bimbang jika tiada tindakan tegas diambil pesta bermain air banjir yang dilihat sudah sebati dengan masyarakat akan berlaku ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
Mohamad Roy Suhaimi berkata, kompaun akan turut dikenakan kepada individu yang membuka gerai perniagaan seperti tahun sebelum ini ketika Rantau Panjang atau ada kawasan yang ditenggelami banjir.
Katanya, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan sama ada berkumpul atau menyambut pesta air (banjir) tahun ini.
“PBT akan merampas dan menyita alatan perniagaan jika ada peniaga yang masih berdegil membuka gerai jualan seperti tahun sebelum ini. Banjir bukan tempat untuk berpesta kerana silap langkah boleh membawa maut,” katanya.
Setiap tahun, pekan Rantau Panjang, Pohon Tanjong, Pasir Mas dan beberapa kawasan yang dinaiki air banjir menjadi tumpuan orang ramai.
Mereka bukan sahaja bermain air tetapi gerai jualan turut dibuka dan ia bagaikan satu pesta bagi penduduk di sini.
sumber : sinar harian