Walaupun bukan beragama Islam, tapi alunan nasyid Hasbi Rabbi olehnya amat merdu

Posted on

Video penuh dibawah

KEMERDUAN suara gadis berketurunan Sino Kadazan menyanyikan lagu Hasbi Rabbi mendapat perhatian netizen selepas video itu tular di Twitter baru-baru ini.

Ketika ditemui Harian Metro, Varrelene Julian, 23, tidak menyangka video berdurasi 14 saat itu tular sehingga menerima 165,000 tontonan, diulang tweet lebih 12,000 pengguna dan 10,400 menyukainya.

Anak kelahiran Sandakan itu berkata, dia menyanyikan lagu itu sekadar untuk menghiburkan rakan-rakannya dan kebetulan dia menyukai lagu itu selepas dinyanyikan oleh penyanyi Khai Bahar.

“Saya tidak tahu pula video itu dimuat naik di dalam akaun Twitter seorang rakan. Pada mulanya mereka hanya minta saya menyanyikan sebuah lagu dan saya mencadangkan lagu nasyid.

“Kebetulan saya meminati lagu zikir yang dinyanyikan Khai Bahar dan saya menghafalnya sebelum menyanyikan untuk mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas video itu tular, dia mengambil keputusan untuk memuat naik semula video berdurasi satu minit di laman Instagram miliknya tiga hari lalu.

“Walaupun bukan beragama Islam, saya menerima reaksi yang positif daripada orang ramai selain rakan-rakan juga turut menyokong termasuk memperbetulkan sebutan dalam zikir itu,” katanya.

Mengulas lanjut minatnya terhadap bidang nyanyian, walaupun Varrelene kini sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) di Tawau namun minatnya tidak pernah pudar.

“Saya aktif menyanyi sejak berusia sembilan tahun lagi dan sejak kebelakangan ini, ada juga menyertai beberapa pertandingan menyanyi di sekitar Sabah.

“Disebabkan minat juga, saya mulai muat naik video nyanyian ke Instagram sejak awal tahun ini dan tidak sangka sejak ditularkan dalam laman sosial, pengikut dalam Instagram semakin meningkat,” katanya.

sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.