PELAKON, penyanyi dan pengacara Elly Mazlein yang bakal melangkah ke alam perkahwinan Sabtu ini teruja dan berdebar menantikan tarikh itu.
Esok juga bakal menyaksikan Elly memperkenalkan tunangnya, Mohamad Azlan kepada rakan-rakan media.
“Perasaan saya bercampur baur, tapi lebih kepada teruja. Alhamdulillah, persiapan untuk majlis malam berinai esok dan akad nikah Sabtu ini sudah hampir siap sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai perasaan bakal suami yang akan diperkenalkan buat pertama kali kepada media, Elly berkata, dia mengakui ada rasa segan.
“Dia sedikit ada rasa segan. Apa pun, kami berdua berdoa dan mengharapkan supaya dua majlis yang akan berlangsung selama dua hari itu akan berjalan lancar,” katanya.
Majlis malam berinai akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) bertemakan Cik Siti Wan Kembang, malam esok.
Majlis malam berinai, akad nikah dan resepsi akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran 750 tetamu jemputan yang terdiri daripada keluarga, kenalan, rakan artis serta media.
Majlis dua hari itu juga bakal menyaksikan persembahan beberapa artis popular tanah air.
Sebelum ini, majlis merisik berlangsung pada 19 Oktober lalu dan diadakan secara tertutup.
Elly dan Azlan seterusnya diikat dalam satu majlis pertunangan yang berlangsung 17 Disember lalu.
Penyanyi lagu Bungaku Bakawali itu mengenali Azlan sejak Ogos tahun lalu dan sehingga kini, belum berkongsi foto wajah kekasihnya itu secara terbuka.
Sebelum ini, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta dan dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi.