BAGI mereka yang pernah menjalani kehidupan di asrama, aktiviti makan mi segera bersama rakan-rakan bukanlah satu perkara yang asing.
Bagaikan menjadi kelaziman, ada pula yang bertindak esktrem dengan memasak mi segera dalam kuantiti banyak menggunakan baldi.
Begitu juga yang dilakukan seorang pelajar ini bersama tujuh lagi rakan sebiliknya pada Khamis pagi sebelum berkongsi rakaman itu di laman Twitter.
Sekadar suka-suka memuat naik video itu, Muhammad Musafir Kelana, 18, bagaimanapun tidak menyangka dia akan menerima kecaman.
“Saya baru lapan hari mendaftar sebagai pelajar. Hari tu kami cuti, jadi kami masak 10 bungkus mi segera untuk lapan orang dalam baldi.
“Saya kongsi video di Twitter, tak sangka orang kecam. Saya faham kenapa mereka kecam. Kalau saya jumpa baldi yang berkerak pun saya tak akan makan.
“Tapi kami guna baldi baharu. Memang tak sempat guna untuk cuci baju lagi sebab baru masuk asrama,” ujar penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh, Johor itu.
Bercerita lanjut, dia yang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal turut dilemparkan dengan komen kasar berhubung video berkenaan.
Jelasnya, dia tidak kisah dengan kecaman yang diterima, namun menasihati orang di luar sana agar menjaga adab dan tidak bermain dengan sentimen kenegerian.
“Masa sekolah menengah, lima tahun saya duduk asrama. Jadi saya dah biasa. Saya gelak je baca komen, mungkin mereka geng-geng makan atas pinggan seramik 24 jam.
“Saya faham, lain orang, lain cara membesar. Pesanan saya, nak judge atau sampaikan kritikan tu, biarlah beradab. Ada yang main sentimen negeri. Saya asal dari Kelantan, dia kata patutlah pengotor.
“Sebenarnya mak saya orang Kelantan, tapi saya lahir di Kedah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad juga hairan bagaimana video mi segera itu berjaya mengumpul lebih sejuta tontonan sejak ia dikongsi di Twitter.
Namun katanya, dia melihat apa yang berlaku dari sudut positif dan mengakui langsung tidak terkesan dengan segala komen yang dilemparkan.