Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, itulah yang diungkapkan oleh Eina Azman apabila berpeluang membantu dua beradik yang menghidap penyakit kulit serius, bertemu pakar untuk pemeriksaan.
“Alhamdulillah, atas persetujuan ibu mereka, saya dapat membawa mereka bertemu pakar kulit di sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan lanjut. Doktor memaklumkan, mereka berpeluang untuk pulih, namun memakan sedikit masa”
“Kami juga bersedia menghulurkan bantuan setiap bulan bagi meringankan beban keluarga itu. Sebagai ibu yang mempunyai sepasang anak yang sedang membesar, saya sebak melihat penderitaan dua beradik itu”
“Tidak dapat saya bayangkan jika berada dalam situasi mereka. Itu yang menggerakkan hati saya untuk membantu. Saya difahamkan, ibu kanak-kanak itu turut menghidap ekzema, selain penglihatannya kurang jelas,” katanya.
Sebagai seorang ibu kepada anak kembar, hatinya tersentuh melihat penderitaan yang ditanggung Lela Safiya, 2, dan Muhammad Nayl Safiy, enam bulan. Selepas berbincang dengan suami, mereka sepakat untuk membantu.
Murni sungguh hati Eina dan suami membantu meringan beban mereka yang dalam kesusahan. Harapnya usaha Eina dapat dicontohi oleh orang lain juga yang berkemampuan untuk menolong mereka yang memerlukan.