PELAKON dan pelawak Ebby Yus tidak menyangka ada peminat ingin mendermakan buah pinggang selepas mengetahui keadaan kesihatannya merosot sejak setahun lalu.
Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, berkata, individu berkenaan meluahkan hasrat tersebut menerusi ruang komen Facebook berhubung artikel tentang keadaan kesihatannya yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Khamis.
Bagaimanapun kata Ebby, dia belum membuat keputusan sama ada ingin menerima tawaran tersebut dan ingin bertemu dengan individu itu terlebih dahulu kerana merasakan ia satu pengorbanan besar.
“Apabila mendapat tahu ada peminat ingin mendermakan buah pinggang saya bertanya kepada diri ‘apa yang telah saya buat sehingga ada orang nak berkorban seperti ini?”
“Tak sampai hati saya hendak mengambil buah pinggang orang lain dan buat masa ini biarlah saya ikhtiar cara lain… Kalau boleh biarlah saya bertemu dengan individu itu terlebih dahulu.
“Niat dia untuk menderma pun sudah cukup buat saya berbesar hati dan rasa bersemangat. Harap saya dapat bertemu dengannya untuk mengucapkan terima kasih,” katanya kepada mStar Online.
Ebby ditemui di kediamannya di Kampung Baru Kuala Lumpur pada Jumaat.
Turut hadir Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dan Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (Finas), Shakib Ahmad Shakir yang turut memberi sumbangan kepada pelawak itu.
Bercakap mengenai keadaan terkininya, Ebby berkata walaupun mengalami pelbagai penyakit kronik namun keadaannya semakin baik selepas beberapa kali dimasukkan ke hospital pada tahun lalu.
Kata Ebby, dia tidak menghebahkan mengenai keadaan kesihatannya kerana tidak mahu dianggap meraih simpati selain menyusahkan ahli keluarga dan rakan-rakannya.
“Boleh dikatakan sejak setahun lalu saya ‘road tour’ masuk pelbagai hospital dan keadaan ketika itu memang lemah dan ketika itu juga doktor beritahu buah pinggang saya bocor tahap tiga selain masalah prostat.
“Alhamdulillah masalah buat pinggang masih terkawal dan tidak memerlukan saya buat rawatan dialisis cuma saya kena jaga pemakanan, kawal pengambilan air serta makan ubat,” katanya.
Selain prostat dan penyakit buah pinggang tahap tiga, Ebby juga mengalami masalah lemah jantung, diabetes, darah tinggi, gastrik dan masalah saraf.
Simpati penderitaan Ebby Yus, pelawak bersatu hati cari dana
TERKESAN dengan berita keadaan terkini Ebby Yus yang menderita akibat komplikasi jantung dan buat pinggang, pelawak Ajak (Shiro) memberitahu sedang dalam usaha mengumpulkan dana bagi membantu meringkan beban pelakon senior itu.
Ajak atau Mohamad Hanafi Razak, 33, berkata, dia juga sudah mengutarakan idea itu kepada rakan pelawak yang lain dan rata-rata bermurah hati untuk menyumbang.
Sementara itu, Ebby turut melahirkan rasa terharu terhadap ahli keluarga dan sahabat handainya yang tidak pernah melupakan dia serta sering menghulurkan bantuan walaupun acap kali dia menolak.
Kata Ebby, dia sering menolak bantuan daripada rakan-rakannya kerana berasa malu selain tidak ingin menyusahkan mereka.
“Syukur kepada Allah saya dikelilingi oleh orang-orang yang suka membantu sampai saya naik malu kerana saya tahu ada orang lebih memerlukan daripada saya.
“Apa yang saya harapkan saya ada kerja kerana bukan selama-lamanya saya boleh bergantung kepada orang lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ebby berkata, dia teruja akan berangkat ke Makkah bagi mengerjakan ibadah Umrah pada 28 Januari ini.
“Alhamdulillah ada pihak yang menaja saya ke sana. Walaupun keadaan kesihatan tidak memuaskan saya tawakal dan berdoa agar Allah permudahkan urusan saya di sana nanti.
“Jujur saya katakan, saya tiada wang untuk ke sana dan syukur apabila ada rakan-rakan yang menghadiahkan kelengkapan untuk ke Makkah seperti kain ihram dan jubah,” katanya.
SUMBER:MSTAR