Dilihat lebih terbuka berkongsikan mengenai hubungannya dengan kekasih, Elly Mazlein sebelum ini memberitahu dia sudah bersedia untuk berkahwin lagi. Masih merahsiakan namanya, Elly menyifatkan teman lelakinya itu seorang lelaki yang baik dan sangat menjaga solat.
“Dia seorang yang sangat baik. Selain selalu meluangkan masa menjaga anak saya, iaitu Puteri Sara Sefia, dia juga tidak pernah tinggal solat.
“Setiap kali tibanya waktu solat Subuh, dia pasti akan menghubungi saya mengingatkan supaya mengerjakan solat. Hal ini menyebabkan saya tidak sabar untuk solat berjemaah bersamanya. Maklumlah, sebelum ini saya tidak pernah merasai pengalaman solat berjemaah bersama suami,” katanya kepada Kosmo!
Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, Elly mula mengenali kekasihnya itu yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan sejak Ogos tahun lalu. Kata Elly lagi, dia bakal bertemu dengan keluarga kekasih pada Mac ini.
“Teman lelaki saya datang daripada keluarga yang besar. Dia merupakan anak kelapan daripada 13 adik beradik. Sejujurnya, saya berasa sangat teruja untuk mengenali keluarganya dengan lebih dekat,” katanya.
Terdahulu, Elly pernah bernikah dengan pengarah, Azmi Hatta pada 2014 dan bercerai pada tahun berikutnya. Hasil perkahwinan itu, Elly dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Sepfhia.
SUMBER : KOSMO!